Pengalaman peribadi : 6 langkah "detox" ketagihan gajet anak- anak


Harini nak sambung cerita pengalaman 'detox' gajet dan alat permainan di rumah untuk anak-anak selepas baca fakta kajian tentang ketagihan skrin. Kisahnya dalam tulisan sebelum ni

Beberapa bulan lepas Kak Piz buat keputusan nak kurangkan penggunaan gajet dan permainan (toys) di kalangan anak-anak. Kesedaran ni datang bila mereka mula berebut dan bergaduh tentang gajet dan toys. Kak Piz fikir, bukan ke patutnya kedua-dua tu alat untuk anak-anak bergembira? Kenapa mesti berebut dan bergaduh... Adakah mereka dah ketagihan sebenarnya?

Lepas berfikir beberapa ketika dan buat sedikit bacaan, akhirnya Kak Piz mula projek 'detox gajet & toys' secara berperingkat. Sebelum mula, kena ikut langkah ni :

Langkah # 1 : Tetapkan JENIS gajet dan alat permainan yang dibenarkan atau tidak.

Contoh Kak Piz buat :
  • TAK DIBENARKAN SAMA SEKALI : telefon/ tablet ibu & ayah, kebanyakan jenis alat permainan seperti pistol mainan, robot terpilih, kereta mainan terpilih, alat pemukul dll.
  • DENGAN KEBENARAN/ BERSYARAT : permainan video Playstation, tonton televisyen, layari internet
  • BOLEH GUNA HAMPIR TIADA HAD TAPI BERSYARAT : brain games, lego, bola, playdoh, puzzles dan lain-lain permainan dari 'busy bag' ibu buat.

Langkah # 2 : Terangkan HAD kegunaan setiap alat.

Contoh :
  • Telefon ayah & ibu untuk kegunaan urusan kerja, perhubungan dengan keluarga, simpan maklumat dan penting untuk waktu kecemasan. 
  • Laptop/ tablet ibu kegunaan untuk urusan kerja, belajar dan simpan maklumat seperti gambar, salinan dokumen dll.
  • Internet kegunaannya untuk berhubung, cari maklumat dan berhibur
  • Alat permainan tertentu boleh jadi alat untuk belajar dan hiburan bila perlu.
  • Televisyen kegunaannya sama seperti alat permainan, cuma tambahannya penting juga sebagai sumber maklumat.

Langkah # 3 :  Jelaskan SYARAT untuk penggunaan alat yang dibenarkan.

Contoh :
  • Penggunaan mengikut jenis, ada yang hanya di hujung minggu dan ada yang boleh pada hari persekolahan dengan syarat.
  • Setiap penggunaan ada had masa. Contohnya selama 2 jam atau untuk rancangan TV mungkin hanya satu siri dll. 
  • Jenis rancangan dan permainan perlu dikawal. Contohnya YouTube hanya boleh tonton video nursery rhymes atau bahan pembelajaran sahaja. Playstation hanya mainanan video tertentu, tidak boleh permainan berunsur ganas. Rancangan TV hanya saluran tertentu sahaja. 
  • Semua aktiviti WAJIB mesti diselesaikan terlebih dahulu sebelum bermain. Contohnya solat, makan, buat kerja sekolah dll.

Langkah # 4 :  TERANGKAN kebaikan dan keburukan serta kesan sampingan jika berlebihan bermain alat-alat tersebut

Contoh :
  • Terlalu lama menghadap skrin boleh merosakkan mata, badan kurang cergas dll.
  • Ketagihan boleh menyebabkan kita membuang masa. Allah tak suka orang yang membuang masa.
  • Rancangan TV, video atau permainan online ada yang tidak sesuai ditonton/ dimainkan kerana ada unsur ganas, tidak bermoral dan mendorong kepada perkara tak baik.
  • Ketagihan skrin dan permainan juga jadikan kita malas bergerak, kurang berfikir dan beri kesan pada pelajaran.

Langkah # 5 :  Sediakan ALTERNATIF untuk gantikan gajet/ alat permainan.

Contoh :
  • Kenalkan permainan yang lebih sihat dan selamat seperti permainan merangsang minda (catur, puzzle, busy bag) atau permainan tradisonal kita (congkak, teng-teng, layang-layang dan galah panjang)
  • Galakkan permainan yang mengeluarkan peluh dan menggalakkan hubungan sosial seperti berbasikal, sep-sep atau permainan tradisional (yang disebut di atas)
  • Isi masa senggang dengan aktiviti keluarga seperti cuci kereta bersama, tanam pokok, bersihkan kawasan rumah, berkelah dll. Tidak salah juga jika adakan 'movie time' bersama keluarga secara berkala.
  • Pupuk hobi yang sihat seperti membaca, memelihara ikan, melukis dan banyak lagi.

Langkah # 6 : Tunjukkan CONTOH yang baik kepada anak-anak (paling penting!)

  • Tetapkan masa untuk tutup handphone kita pada waktu tertentu. Contohnya pada waktu makan, waktu prime time bersama anak-anak dan sebagainya.
  • Hadkan penggunaan aplikasi dalam aktiviti harian. Gantikan dengan kaedah konvensional seperti baca buku secara fizikal bukan e-book, salin resepi dalam buku bukan asyik Google semata, pasang jam loceng gantikan alarm pada telefon dan alunkan sendiri zikir ketika tidurkan anak, bukan sekadar buka YouTube.
  • Beri tumpuan dan luangkan masa dengan anak-anak. Jangan berbual dengan mereka sambil menjeling telefon di tangan atau bermain COC ketika temankan anak buat kerja sekolah.
  • Jika terpaksa gunakan gajet, elak terlalu menonjol di hadapan anak atau tunggu sehingga mereka tiada/ tidur.
  • Sebaiknya ibu ayah kena kurangkan dulu ketagihan terhadap laman sosial, permainan video dan aplikasi pada gajet masing-masing. Tidaklah seperti ketam mengajar anak jalan lurus nanti.

Alhamdulillah, lebih dua bulan berlalu. Sekarang ada banyak perubahan yang berlaku di kalangan anak-anak. Mereka dah kurang habiskan masa dengan gajet dan permainan. Nabil dan Naufal yang berumur 7 dan 4 tahun dah mula faham kenapa Kak Piz buat projek 'detox' ni. Mereka sendiri lebih berdisiplin walaupun kadang-kadang sesekali datang juga perangai lama. Ibu bapa kena sabar dan tegas dalam kelembutan. Selalu nasihat dan ingatkan mereka.

Walaupun sesetengah langkah dalam projek 'detox' ni kurang berkesan untuk anak yang lebih kecil seperti Nashwa (yang baru berumur 2 tahun), teruskan sahaja dan ulangkan sentiasa. Selalunya yang adik akan meniru abangnya. Insya Allah saya percaya Nashwa pun akan faham dan mengikut nanti.
Ada lagi pekongsian tentang isu ni. Insya Allah Kak Piz kongsi lagi nanti ye.

Good Luck mommies!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...